Sabtu, 17 Oktober 2009

Kisah Seorang Peniaga Restoran....

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.....Selawat dan salam keatas penghulu kami Nabi Muhammad Salallahi Alaihi Wassalam serta para sahabat baginda dan seluruh mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat serta seluruh umat akhir zaman.


Salam sejahtera kepada semua penghuni alam maya, semoga kalian dilimpahi taufiq, hidayah dan inayah dan dibuka pintu hati untuk lebih mendalami islam insya'Allah.

Hari ini, 17 Oktober 2009 bersamaan dengan 28 Syawal 1430... jam 11.10 PM, hati ku mula tergerak untuk menyambung kembali penulisan didalam blog ini. Tajuk blogku pada kali ini ialah "Kisah Seorang Peniaga Restoran". Suatu hari aku pergi sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor, suatu tempat yang menjadi kebiasaanku mengisi masa terluang. Tokey restoran tersebut merupakan seorang yang cukup aku kenali dan sangat aku hormati kerana beliau sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar didalam sesuatu perkara. Aku menggelarkan dirinya sebagai Cikgu.

Beliau bercerita kepada ku, suatu hari...datang seorang hamba Allah yang berasal daripada nageria dan telah beberapa tahun bekerja di Malaysia, hamba Allah tersebut menjadi salah seorang pelanggan restorannya. Hamba Allah tersebut berkata padanya bahawa orang melayu di Malaysia sangat pemalas, bekerja pun tidak bersungguh-sungguh (ala kadar), kalau berniaga pun sekadar cukup makan sahaja. Maka Cikgu ini pun terdiam dan memikirkan sesuatu pengajaran yang dapat disampaikan kepada hamba Allah tersebut.


Beliau pun berkata pada hamba Allah tersebut bahawa orang melayu di Malaysia ini bukanlah sengaja untuk menjadi malas dalam suatu pekerjaan mencari duit, tetapi ada beberapa sebab yang membuat mereka begitu. Maka bertanyalah hamba Allah ini akan sebabnya. Cikgu pun berkata bahawa orang Melayu di Malaysia tidak bersungguh-sungguh mencari duit adalah kerana ingin menjaga keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Maka bertanya pula hamba Allah ini pada Cikgu bagaimana kaitan menjaga keimanan dengan tidak bersungguh mencari duit. Maka jawablah cikgu bahawa dengan menjaga keimanan kepada Allah S.W.T, maka tidak perlulah risau duit cukup ataupun tidak kerana dengan keimanan kepada Allah S.W.T maka kita tidak perlu risau rezeki daripada Allah S.W.T itu sentiasa ada dan disusun olehnya. Selain itu juga, Cikgu berkata bahawa kekayaan itu hanyalah bersifat sementara dan jika tidak tahu mengurusnya juga boleh membuat kita lupa tugas kita sebagai hamba Allah.

Firman Allah S.W.T.:

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." - Surah az-Zariyat: ayat 56.

Tidaklah Allah S.W.T berkata dijadikan manusia ini untuk mencari harta kekayaan supaya dapat dimanfaatkan oleh anak dan cucu pada kemudian hari.

Oleh itu kesimpulannya dengan harta kekayaan itu membuatkan kita alpa dan cuai dengan tugas yang diberikan oleh Allah S.W.T, tidaklah lain tetapi hanyalah untuk mengabdikan diri kepadanya.
Maka terdiamlah hamba Allah tersebut. Dan berkata Cikgu bahawa kerana tidak yakin dengan konsep keimananlah sampai ke Malaysia mencari duit.

Sebenarnya bukanlah hasrat Cikgu untuk mengatakan bahawa hamba Allah itu merantau ke Malaysia kerana tidak yakin dengan keimanan kepada Allah S.W.T. Tetapi hanyalah sekadar untuk memberi pengajaran kepadanya kerana terlalu cepat menghukum.


Allah berfirman:
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih ber-gantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau. Maka, peliharalah kami dari siksa neraka."(Surah Ali 'Imran, Ayat 190-191).

Hendaklah kita yakin dengan ke-enam-enam rukun iman itu, dan yang paling penting adalah rukun yang paling akhir sekali iaitu percaya kepada Qada' dan Qadar. Untuk menghuraikannya memerlukan suatu penerangan yang cukup mendalam. Tidak mampu untuk hamba yang lemah ini untuk menghuraikannya.

Setelah mendengar cerita Cikgu tersebut, aku pun terdiam dan kembali merenung akan diri ini.
Hendaklah kita sentiasa menjauhi laranganNya dan mengerjakan suruhanNya.

Kalau kita lihat dewasa ini, ramai dikalangan kita mengakui keislamannya, dan ramai juga dalam masa yang sama cepat menghukum sesuatu perkara. Orang ini betul, orang ini salah, orang ini benar dan orang ini sesat. Tetapi sedarkah kita semuanya sudah termaktub didalam luh-mahfuz? Semua yang bergerak dan beredar diseluruh cakerawala termasuk bumi, bulan, matahari dan bintang adalah susunannya. Sedar atau tidak, terlalu ramai sudah merampas sifat ketuhanan. Terlalu ramai yang ingin menghukum, sedangkan tugas seorang hamba itu hanyalah menyampaikan hukum.
Terdapat dua perbezaan yang agak besar walaupun ayatnya hampir sama iaitu menghukum dan menyampaikan hukum. Contohnya berkata seseorang kepada seseorang yang lain; "Kamu ini berzina dan berzina itu adalah suatu dosa yang besar". Ayat tersebut merupakan suatu ayat yang terus menghukum tanpa memikirkan implikasinya. Akan tetapi jika dilihat daripada contoh ayat yang lain; berkata seseorang itu kepada yang lain tanpa berniat untuk menghukum dan tidaklah ditujukan kepada individu-individu tertentu, "Hendaklah kamu mengingati Allah, jauhilah laranganNya dan kerjakanlah suruhanNya". Ayat tersebut merupakan ayat menyampaikan hukum.

Sekian dulu coretanku buat kali ini, wabilahi taufik wahidayah wassamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


People who read this post also read :



2 ulasan:

bujukz da great berkata...

sungguh menarek ulasan cikgu tersebut...

Adiratna Safi berkata...

sangat mendalam.terima kasih.