Rabu, 9 Mei 2012

Antara dua pandangan....


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera keatas semua makhluk di muka bumi ini, Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad S.A.W, para sahabat nabi, para ambia, para rasul, para syuhada dan seluruh mukmin, mukminat, muslimin, muslimat serta seluruh umat Islam.


Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaanNya dapat kita merasai dua nikmat yang paling agung iaitu nikmat Iman dan Islam.






Antara dua pandangan.... adalah tajuk yang menjelma dalam benak fikiran ku dikala ini kerana dewasa ini pelbagai isu yang melibatkan dua pendapat yang berbeza.  Dua pendapat yang berbeza ini pula cuba mempertahankan hujah masing-masing supaya dilihat pihak masing-masing adalah benar. Didalam surah Al-Rom ayat 31 dan 32, Allah berfirman; 




" Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik."



" Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong itu)."


Pandangan mata selalu menipu dan pandangan nafsu selalu tersalah akan tetapi pandangan mata hati yang dipandu iman itu yang hakiki.

Antara dua pandangan itu walaupun menggunakan ayat al-Quran dan Al-Hadis sebagai hujah, jika tidak dipandu dengan iman maka kesesatan lah juga penyudahannya.

Kecenderungan akan sesuatu perkara itu akan membutakan pandangan mata hati, maka tertipulah kita dengan pandangan mata serta tersalahlah kita apabila memandang menggunakan nafsu.



" Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. "


 
Muaz bin Jabal melaporkan, katanya, “Saya berkata, “Wahai utusan Allah, Beritahulah kepada saya amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga & menjauhkan saya daripada api neraka.”

Jawab Rasulullah, “Saudara bertanya tentang perkara yang penting, tetapi amalan itu amat mudah bagi orang yang dipermudahkan Allah melakukannya. Amalan itu adalah menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan apa pun. Mengerjakan sembahyang, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji di Mekah.”

Kemudian baginda berkata lagi, “Adakah saudara suka saya tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai daripada api neraka, sedekah memadamkan dosa seperti air memadamkan api, dan sembahyang seorang hamba pada satu pertiga terakhir malam.”

Kemudian baginda membaca ayat 16 dan 17 daripada surah as-Sajadah yang bermaksud,

“Mereka menjauhkan diri dari tempat tidur, (tidur yang sedikit kerana mengerjakan sembahyang tahajud & amalan baik); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (kemurkaanNya) serta perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepada mereka. Oleh itu, tiada individu yang mengetahui perkara yang dirahsiakan bagi mereka (segala jenis nikmat) yang indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal kebaikan yang mereka kerjakan.”

Selepas itu baginda bertanya, “Adakah saudara suka saya beritahu asas bagi semua perkara itu, tiang & titik kemuncaknya?”

Saya menjawab, “Sudah tentu wahai Rasulullah.”

Rasulullah pun berkata, “Asas bagi semua perkara adalah Islam, tiangnya adalah sembahyang dan titik kemuncaknya adalah jihad.”

Kemudian baginda bertanya lagi, “Adakah saudara suka saya beritahu kunci bagi semua perkara itu?

Saya menjawab, “Sudah tentu wahai Rasulullah.”

Baginda memegang lidahnya, lalu berkata, “Saudara jagalah ini.”

Saya bertanya, “Wahai Rasulullah! Adakah kita dituntut bagi segala perkara yang kita ucapkan?

Jawab Rasulullah, “Aduh saudara! Bukankah manusia disembamkan mukanya ke dalam neraka hanya sebab lidah mereka?”

(Daripada Hadis Riwayat Tirmizi)





Oleh kerana lidah boleh membawa kebaikan dan keburukan dalam hidup manusia, kita perlu sentiasa berwaspada menggunakan lidah sewaktu bertutur kata. Dengan kata lain, kita hendaklah bijak menggunakan lidah apabila bercakap.

Sekiranya kata yang kita ucapkan boleh menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati atau terguris, ia boleh mendatangkan keburukan kepadai kita. Pepatah ada mengatakan kerana mulut badan binasa.

Justeru, sebelum kita berkata sesuatu hendaklah berfikir terlebih dulu. Kita gunakan lidah untuk berkata sesuatu yang baik dan tidak sia-sia atau lebih baik lagi kita diam. Itu lebih memberi manfaat daripada kita berkata perkara yang boleh mendatangkan dosa. Sesungguhnya orang beriman tidak bercakap perkara yang sia-sia dan tiada berfaedah.

Daripada Abu Hurairah diriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau ia diam.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat Imam Tirmidzi)

Menurut Rasulullah SAW ada tiga jenis manusia, iaitu yang mendapat pahala, selamat daripada dosa dan binasa.

Orang yang mendapat pahala sentiasa mengingati Allah, berzikir, mengerjakan solat dan sebagainya. Orang yang selamat daripada dosa ialah mereka yang diam, manakala orang yang binasa sentiasa melakukan perkara mungkar, maksiat dan tidak mengawal lidahnya dengan baik.

Kita dapat mengenal peribadi seseorang daripada percakapannya. Orang yang tinggi akhlak selalunya bercakap hal yang baik saja, tidak menyakiti hati orang lain, tidak mengucapkan perkataan kotor dan tidak banyak bercakap. Mereka mengawal lidah sebaik-baiknya.

Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.”