Sabtu, 3 Oktober 2009

Iktibar di bulan Syawal

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...salam dan selawat ke atas junjungan mulia kami Muhammad Salallahialaihiwassalam...penghulu akhir zaman..yang memimpin kami dari jalan kesesatan kepada jalan kebenaran....

Salam sejahtera kepada seluruh penghuni alam maya, semoga diberi rahmat, taufik, hidayah dan inayah...Sesungguhnya sebaik-baik jalan adalah jalan yang ditunjuk oleh Muhammad S.A.W.

Hari ini 3 Oktober 2009, bersamaan 14 Syawal 1430 pada jam 3.00 petang, jari jemari ku kembali aktif menaipkan kalam yang berlegar di kotak fikiran ku yang kadang-kadang mengusik jiwa ku, lalu ku abadikan coretan ini didalam tajuk "Iktibar di bulan syawal".


Iktibar jika diteliti maksudnya ialah pengajaran ataupun teladan. Apabila kita menyebut iktibar, pasti kita memikirkan sesuatu peristiwa yang diturunkan bala bencana atau musibah yang berlaku samada pada masa kini mahupun masa lampau. Tetapi kita lupa dan alpa bahawa iktibar itu berlaku samada perkara itu baik ataupun jahat, cantik ataupun buruk, wangi ataupun busuk, musibah ataupun rahmat. Tetapi yang penting adalah kita belajar dan ambil pengajaran daripada hal yang berlaku disekeliling kita dan kaitkan ia dengan kebesaran Tuhan Rabbul Jalil, yang menyusun sesuatu itu dengan ketentuan yang tidak dapat dihuraikan dengan akal yang sering kali terpedaya dengan nafsu dan syaitan.


Kita sering melihat iktibar apabila berlaku kesusahan mahupun keperitan, adakah bila diturunkan bala dan musibah barulah manusia memikirkan kekuasaanNya? Persoalannya mengapa semasa senang dan diberikan rahmat, kita tidak mahu meletakkan ia sebagai iktibar? Adakah kita bangsa yang mudah lupa diri? Sampaikan perlunya bala dan musibah barulah nak berubah? Sedangkan didalam ayat Al-Quran Allah S.W.T berfirman:


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih ber-gantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau. Maka, peliharalah kami dari siksa neraka."(Surah Ali 'Imran, Ayat 190-191).
Kita sering meletakkan peringatan dan petunjuk daripada Al-Quran dan hadith itu tiada kaitan dengan diri kita sendiri. Kita meletakkan peringatan itu pada zaman dahulu sahaja. Ataupun kita meletakkan sesuatu peringatan itu pada kitab itu sahaja. Ataupun kita meletakkan sesuatu itu sekadar untuk menyokong hujah kita sahaja.

Mengapa tidak kita meletakkan petunjuk dan peringatan itu didalam diri kita? Pada setiap yang dikatakan oleh Allah dan Rasul itu pada diri kita?

Masih bebalkah diri ini sampaikan Allah tunjukkan kebesarannya secara nyata baru lah nak ambil iktibar? Berlakunya Tsunami, Gempa Bumi, Banjir Besar, Ribut Taufan dan sebagainya, barulah nak ambil iktibar? Ingatlah wahai saudara ku, tatkala berlakunya bala dan musibah ini, segala-gala pemberiannya akan diambil, termasuklah keluarga, harta, pangkat, dan kuasa. Apabila diri tidak mempunyai apa-apa, hatta sepasang pakaian yang menutupi tubuh sekalipun, adakah diwaktu itu barulah nak mengingati Allah dan akur segala suruhan dan larangannya?

Bulan Syawal merupakan bulan yang penuh dengan kegembiraan, dalam bulan yang gembira ini pula diturunkan bencana agar manusia sentiasa sedar akan kekuasaannya. Adakah dengan bencana ini menandakan Allah marah dengan manusia? Jika dilihat dengan pandangan akal, berlakunya hari ini dengan pembunuhan yang kejam, bapa rogol anak kandung, abang bersekedudukan dengan adiknya sendiri, anak pak imam dirogol tanpa belas kasihan, dan pelbagai peristiwa yang melampau dek akal. Adakah peristiwa itu berlaku dengan kerakusan nafsu dan syaitan didalam diri manusia?

Wahai saudaraku, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah. Ingatlah dan ambilah pengajaran bahawa sesuatu yang berlaku samada baik atau buruk semuanya dengan izinNya. Redhalah saudara ku. Ambillah pengajaran itu keatas diri kita, bukanlah keatas diri mangsa-mangsa yang berlakunya kejadian tersebut. Sesungguhnya segala yang berlaku itu semuanya disusun olehNya. Ingatlah saudaraku, sesungguhnya seksaan kubur itu benar, seksaan neraka itu benar dan balasan syurga itu benar, akhirat juga benar dan hari pengadilan itu benar.

Sekian dulu buat kali ini, sesungguhnya yang baik mahupun buruk semuanya datang darimu ya Rabbi, hambamu ini tiadalah daya upaya untuk menggerakkan sesuatu tanpa izin Mu ya Allah.

Wassalam.

People who read this post also read :



Tiada ulasan: