Ahad, 29 Julai 2012

Takut dalam Taqwa ...





Bismillahir Rahmanir Rahim....

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani. Alhamdulillahi rabbilalamin wassalati wassalam wa'ala assyrafil anbiya'ie walmursalin wa'ala alihi wassabihi ajmai'in...subhanakala ilmalana ma 'alamtana innaka anta tauwaburrahim.. wa'ala alihi wasahbihi wassalim...walhamdulillahirabbil alamin.

Segala puji-pujian buat Tuhan yang mencipta Alam Soqir dan Alam Kabir, Sesungguhnya Dialah Tuhan yang mengetahui akan sesuatu. Selawat dan salam keatas baginda Muhammmad S.A.W, para sahabat baginda, para ahlul bait, para anbiya, para awlia, para ulama dan mukminin wal mukminat, muslimin wal muslimat, al-ahya wal amwat.

Alhamdulillah dengan berkah, rahmat, taufik, hidayah dan innayahnya dapat kita merafak setinggi-tingginya rasa syukurnya kita kerana dilimpahi akan kasih sayangNya sama ada secara sedar mahupun tidak sedar.







Malam ini jam 23.20, bertarikh 28 Julai 2012 Masihi bersamaan dengan 8 Ramadhan 1433 Hijrah, tergerak dihati kecil ini untuk meneruskan bidang penulisan yang sudah lama sepi dan tenggelam dihanyut arus usia. Sejak akhir-akhir ini, aku dilontarkan akan persoalan TAKUT dan TAQWA. Lalu aku terjemahkannya didalam tajuk blog ini sebagai "Takut dalam Taqwa".

Kita sering dengar akan perkataan TAKUT, tetapi kita sukar untuk huraikan maksud takut itu sendiri. Didalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ia menterjemahkan takut itu kepada tiga maksud, iaitu;

1. Tidak berani menghadapi sesuatu yang pada perasaannya akan membahaya­kan diri dan lain-lain.

2. Berasa bimbang atau ragu-ragu, gelisah atau khuatir.

3. Berasa segan , hormat atau takwa.

Manakala erti TAQWA didalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula ialah:-

" ketaatan kepada perintah dan la­rangan Allah (kerana takut, kasih dan hormat kpd-Nya). bertaqwa menaruh perasaan takut, kasih, hormat, serta patuh kepada Allah: Sesungguhnya orang yang paling taqwa kepada Allah ialah orang yang benar-benar taat kepada perintah-Nya. "







Untuk menghuraikan erti TAQWA itu sebenarnya adalah terlalu luas huraiaannya, oleh yang demikian fokus kita lebih kepada "takut dalam taqwa".








Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim membawa tiga makna:


- Pertama, bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah). Antara firman Allah Taala yang tersisip kalimah taqwa yang membawa makna tersebut ialah:-

Dan bertaqwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah. (2 : 281)


- Kedua, bermakna taat. Contohnya seperti yang terdapat dalam firman Allah yang maksudnya:-


Hai sekalian orang yang beriman, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa (taat). (3 : 102)

- Ketiga, mengandungi maksud, menyucikan hati daripada dosa. Contohnya dalam firman Allah yang mafhumnya:-


Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertaqwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan. (24 : 52)

Imam al-Ghazali membuat kesimpulan:-

Bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudharat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit. Ada pun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah "bertaqwa".




35:28



Maksudnya:-


Seorang hamba tidak dapat mencapai derajat taqwa (muttaqin) sehingga meninggalkan apa yang tidak berdosa, semata-mata karena khawatir terjerumus dalam dosa (H.R. At-Tirmidzi, Ibnu Majah)


Hasan Al-Bashri menyatakan bahwa taqwa adalah takut dan menghindari apa yang diharamkan Allah, dan menunaikan apa-apa yang diwajibkan oleh Allah. Taqwa juga berarti kewaspadaan, menjaga benar-benar perintah dan menjauhi larangan.


Seorang sahabat Rasulullah SAW, Ubay bin Ka’ab pernah memberikan gambaran yang jelas tentang hakikat taqwa. Pada waktu itu, Umar bin Khaththab bertanya kepada Ubay tentang apa itu taqwa. Ubay balik bertanya : “Apakah Anda tidak pernah berjalan di tempat yang penuh duri?” Umar menjawab : “Ya.” Ubay bertanya lagi : “Lalu Anda berbuat apa?” Umar menjawab: “Saya sangat hati-hati dan bersungguh-sungguh menyelamatkan diri dari duri itu.” Ubay menimpali : “Itulah (contoh) taqwa.”


Menurut Al-‘Allamah Mustafa al-Khairi al-Manshuri, taqwa ini mempunyai tiga martabat;


Martabat pertama :
Membebaskan diri dari kekufuran .


Inilah yang diisyaratkan oleh Allah dengan “Kalimat at-Taqwa” dalam firmanNya :


“…lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang mu'min dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa …”(Surah Al-Fath . Ayat : 26)




Maksud kalimah at-Taqwa dalam ayat di atas ialah kalimah : “لا إله إلا الله محمد رسول الله” atau dua kalimah syahadah. Kalimah ini merupakan kalimah iman yang menjadi asas atau punca kepada taqwa.

Martabat kedua : menjauhkan diri dari segala perkara yang membawa kepada dosa.


Martabat ketiga :
Membersihkan batin (hati) dari segala yang menyibukkan atau melalaikan diri dari Allah swt.


Martabat yang ketiga inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah;

“ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri (kepada Allah SWT).”(Surah Ali Imran. Ayat : 102)




Dalam hal ini Ibnu Taimiah pernah mengungkapkan, “Definisi takut adalah segala hal yang dapat mencegahmu daripada perbuatan maksiat, sedang apa yang melebihi batasan itu tidaklah diperlukan.” Sebahagian ulama juga ada mengatakan, “Makna takut kepada Allah adalah apabila kamu duduk sendirian, kamu menyedari seolah-olah Allah memerhati semua makhluk-Nya dari atas singgahsana-Nya.” Manakala salah seorang salafussoleh telah berkata, “Takut adalah beranggapan bahawa kamu akan dilahap api neraka Jahannam, atau seolah-olah kamu tiada berdaya, bahkan tidak mampu mengucapkan kalimah La Ilaha Illallah.”

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyebutkan tentang rasa takut kepada Allah dan seruan kepada manusia untuk memiliki sifat tersebut. Kata "khauf" yang bermakna takut telah dinyatakan dalam al-Quran sebanyak 134 kali, manakala kata “khasy-syah” yang juga bererti takut terdapat sebanyak 84 kali. Antaranya firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 39 (maksudnya):


"Nabi-nabi yang telah lalu itu ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintah-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung segala yang dilakukan oleh makhluk-makhluk-Nya untuk membalas mereka."




Dalam surah an-Naziat ayat 37 hingga 41 pula Allah telah berfirman (maksudnya):


"Maka barangsiapa yang derhaka dan mengutamakan hidup di dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat diamnya. Adapun orang yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan dirinya daripada hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya."




Berkenaan ayat-ayat dalam surah an-Nazi'at ini, dalam kitab "Tafsir al-Wadhih", penulisnya Muhammad Mahmud al-Hijazi telah menyatakan, "Apabila berlaku kiamat, Tuhan kamu akan mengasingkan antara sesama makhluk. Ada yang celaka dan ada pula yang berbahagia. Si celaka yang melampaui batas dan mementingkan kehidupan dunia, nerakalah menjadi tempat tinggalnya. Itulah kesudahan yang amat buruk. Sementara yang berbahagia pula ialah mereka yang takutkan kebesaran Allah dan takutkan keadaannya ketika berdiri di hadapan Allah Taala Yang Maha Mulia dan Maha Perkasa pada hari kiamat. Mereka juga menahan diri daripada menuntun hawa nafsu. Mereka tetap beriltizam dengan kalimah takwa. Mereka layak mendiami syurga dan ia merupakan tempat tinggal yang terbaik."




Bagaimana pula untuk kita mengetahui kewujudan rasa takut ini dalam diri seseorang? Menurut Dr ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni, terdapat empat tanda yang boleh mencerminkan rasa takut yang sebenarnya seseorang individu kepada Allah:

Pertama: Keadaannya yang nampak dan yang tersembunyi adalah sama, sehingga yang nampak tidak kelihatan lebih baik daripada yang tersembunyi. Daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:



"Allah Subhanahu wa Taala berfirman (dalam hadis Qudsi): “Akan wujud beberapa kaum yang berpura-pura dalam khusyuk, mereka memakai kulit-kulit domba halus di hadapan manusia (berpura-pura), lidah-lidah mereka lebih manis daripada madu, hati-hati mereka lebih pahit daripada tanaman sejenis jadam (rasanya sangat pahit), maka atas nama-Ku, Aku bersumpah untuk menurunkan fitnah dan cubaan yang menjadikan orang yang lembut menjadi gundah. Adakah mereka hendak menipu-Ku ataukah mereka berani kepada-Ku?”


(Riwayat at-Tirmidzi)




Kedua: Seseorang itu jujur dengan Allah, sama ada dalam pembicaraan, tindakan mahupun perbuatannya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Syafi al-Ashbuhi radiallahuanhu, dia berkata:



“Saya mendatangi Abu Hurairah radiallahuanhu ketika dia berada di dalam masjid Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di Madinah. Saya berkata: “Wahai Abu Hurairah, demi Allah, saya memohon kepada tuan untuk menceritakan sebuah hadis yang tuan dengar daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam kepadaku.” Abu Hurairah radiallahuanhu mengatakan: “Demi Allah, saya akan menceritakan sebuah hadis yang saya dengar daripada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.” Tiba-tiba dia menangis tersedu-sedu sehingga dia tidak sedarkan diri. Selepas dia sedar kembali, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya golongan yang pertama sekali dibakar dengan api neraka pada hari kiamat nanti ada tiga orang.” Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyebutkan tiga golongan manusia ini, iaitu seorang alim atau yang membaca al-Quran, seorang pedagang dan seorang mujahid. Mereka semua melakukan pekerjaan dengan riak dan sum’ah, tidak ikhlas kerana Allah. Allah akan memasukkan mereka terlebih dahulu ke dalam api neraka sebelum yang lainnya.”





Ketiga: Dia menyesali perbuatan-perbuatan yang buruk dan bergembira terhadap perbuatan-perbuatan yang baik. Dalam hal ini Allah telah berfirman:




“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji (dosa besar yang mudaratnya menimpa orang lain juga, seperti zina dan riba) atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah ampunan daripada Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.”

(Ali Imran: 135-136)


Keempat: Kehidupannya hari ini lebih baik daripada hari semalam. Dan hari esoknya lebih baik daripada hari ini. 




49:13 

 Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).


Takut dalam Taqwa adalah suatu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata mahupun tulisan kerana perkara ini melibatkan perasaan yang mendalam, lalu ia menjadi rahsia antara seorang hamba dan PenciptaNya. Pelbagai ulama cuba menghuraikannya dengan lebih mendalam, akan tetapi untuk merasai akan takut dalam taqwa itu adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya untuk diceritakan.

Seperti didalam surah Faatir ayat 28, ia menceritakan bahawa hanya orang-orang yang berilmu dan beramal soleh sahaja merasai akan Takut dalam Taqwa ini. Pokok pangkalnya ia berbalik kepada kalimah Tauhid yang menjadi rukun pertama didalam rukun Islam iaitu dua kalimah syahadah dan pegangan kita iaitu 'Lailaha ilallahu Muhammadur Rasulullah'.





Sekian dahulu warkah pendek ini, semoga bermanfaat bersama insya'Allah. Wabillahitaufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Wassalam.



People who read this post also read :



Tiada ulasan: