Rabu, 19 September 2012

Kepandaian VS Kebodohan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.  Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan Mulia, Sayidina Muhammad S.A.W. Para Rasul yang diutuskan ke atas umat manusia, para Nabi Allah, para Sahabat Baginda, Khalifah Utama Islam Sayidina Abu Bakar R.A, Sayidina Omar Al-Khattab R.A, Sayidina Uthman R.A dan Sayidina Ali R.A, Ahlul Bait, para Ulama warisatul Anbiya, Ustaz-ustaz dan Guru-guru yang mengajar kami sejak dari kecil sehingga hari ini, mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat yang mengikuti jalan kebenaran dan mentauhidkan kalimat syahadah La 'ilahailallahu Muhammdur Rasulullah, semoga di berkati, dirahmati dan dikurniakan rahmat, taufik, hidayah dan inayahNya.  Semoga ayahanda yang tercinta yang telah kembali ke rahmatullah, berada dalam keadaan aman dan damai disana bersama tetamu-tetamu yang dikasihi dan dirahmati Tuhan yang Menguasai Alam.


Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Illahi kerana masih dikurniakan dua nikmat yang terbesar dan terindah di Alam yang fana ini iaitu nikmat Iman dan Islam. Kelalaian dunia menghambat hati yang dhoif dan hina ini untuk berkongsi akan ilmu yang sedikit, mudah-mudahan dapat kita beramal di dalam kehidupan seharian...insya'Allah.
Tergerak hati yang kecil ini untuk meneruskan dunia penulisan maya ini didalam tajuk blog "Kepandaian VS Kebodohan".
Didalam Dewan Bahasa dan Pustaka menterjemahkan bahwa kepandaian itu adalah keadaan atau sifat pandai; kebolehan serta kemahiran; kecerdikan:.  Manakala kebodohan pula bermaksud sifat atau keadaan bodoh; kedunguan: atau perihal bodoh, kebebalan, kedunguan, ketololan;.

  [35:5] Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah. 


Dua sifat yang bertentangan keadaan dan situasinya.  Didalam Al-Quran sering meletakkan kepandaian dunia itu keatas Firaun, Qarun, jin dan Syaitan didalam menipu daya manusia.


 [12:33] Yusuf berkata: "Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh." 

 [33:72] Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat1234 kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,

 Kepandaian seorang manusia itu jika diukur dengan logiknya akal dan nafsu maka tidak ubah mereka seperti jin, syaitan, qarun dan firaun serta dajjal yang sering diingatkan didalam al-quran dan hadis Rasulullah S.A.W.

"Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: Belum akan terjadi kiamat sebelum timbul peperangan antara dua pasukan besar, antara keduanya timbul perang besar, sedang seruan keduanya sama. Dan sebelum lahir beberapa dajjal (penipu besar) yang amat pandai berbohong, hampir sebanyak tiga puluh orang, semua mendakwakan dirinya utusan Allah. Dan sebelum ilmu pengetahuan diambil (berkurang), banyak kegoncangan, zaman bertambah cepat, kekacauan bermaharajalela dan banyak huru-hara, iaitu pembunuhan. Dan sebelum harta sampai melimpah-ruah, sehingga orang yang berharta ingin hendak memperoleh orang yang akan menerima sedekahnya dan ditawarkannya (kian ke mari), tetapi orang yang ditawar untuk menerima sedekah itu mengatakan tidak lagi memerlukannya. Dan juga sebelum orang banyak bermegah-megah (bersenang-senang) dalam gedung-gedung besar. Dan sebelum seseorang melalui kubur orang lain, Lalu dia mengatakan: "Wahai, hendaknya saya menggantikan orang itu." Dan sebelum matahari terbit di tempat terbenamnya. Setelah matahari terbit (sebelah barat) dan kelihatan oleh orang banyak mereka beriman semuanya, tetapi ketika itu keimanan tidak berguna kepada seseorang yang belum beriman sebelumnya atau keimanannya belum menimbulkan usaha-usaha yang baik. Ketika kiamat terjadi, dua orang yang hendak berjual beli telah mengembangkan kain di hadapan keduanya, tidak sempat lagi meneruskan jual beli dan tidak pula sempat melipat kain. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang baru selesai memerah susu lembunya, tidak sempat lagi meminumnya. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang sedang memperbaiki tepi kolamnya tidak sempat lagi meminum airnya. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang mengangkat makanan ke mulutnya, tidak sempat lagi memakannya." - (Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1884.)"


Akan tetapi jika kepandaian itu diukur dengan iman dan amalan soleh seseorang itu maka lalu diletakkan akan kepandaian itu bukan pada diri akan tetapi kepada tuan empunya kepandaian iaitu Al-Fattah - Yang Maha Mengetahui akan sesuatu.  Maka lahirlah akan kebodohan ke atas diri seorang hamba itu.

Kepandaian dan kebodohan yang sering menjadi kayu ukuran intelektual dunia yang kadangkala menyesatkan akidah dan tauhid seseorang.  Islam bukanlah agama yang jumud dan jahil didalam sesuatu perkara, akan tetapi hanya hati yang bersih, dipandu akan iman dan amal soleh yang baik akan menghasilkan suatu perkara yang luar biasa, jauh melangkaui akal fikiran manusia biasa.

Akhirnya aku sendiri termenung memikirkan akan kehebatan ilmu Tuhan yang menguasai Alam semesta.  Didalam bab "Kepandaian VS Kebodohan" itu sendiri tidak dapat aku rungkaikan kerana tiada salah mahupun betul didalam kedua-dua situasi cuma penilaian akal yang dhoif ini seringkali terpedaya dan tertipu akan mata dan nafsu serta akal yang sempit semata-mata.  Astaghfirullahalazim...

Sekian dahulu, warkah bisu yang tiada awal dan akhir ini, maafkan daku akan persoalan dan huraian yang tergantung ini.

Semoga kita sebagai umat Islam yang terunggul, nilailah sesuatu perkara itu dengan ilmu, iman dan amal yang soleh, bukanlah dengan pandangan mata yang terhijab, hati yang kabur dengan nafsu dan akal yang sejengkal.

Wassalam...

People who read this post also read :



Tiada ulasan: