Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam muafakat kepada seluruh umat di muka bumi ini yang meneruskan perjuangan menempuh liku-liku kehidupan di alam fana ini.
Dengan nama ArRahman dan ArRahim, zat penakluk sekalian alam yang menyemaikan sifat pengasih dan penyayangNya ke seluruh makhluk dan alam tanpa mengira darjat, bangsa dan agama. Selawat dan salam keatas junjungan mulia kami rasul akhir zaman Muhammad S.A.W yang membawa risalah terakhir untuk umat akhir zaman sebagai panduan dan wasiat ulung yang menyelamatkan manusia dari kekufuran dan zalim terhadap diri sendiri.
Tajuk blog yang ingin saya kupaskan pada hari ini ialah berkenaan teguran, jika dipetik dari Dewan Bahasa & Pustaka menterjemahkannya sebagai; 1. hasil perbuatan menegur, sapa; 2. celaan, ajaran, cerca, kritikan, petunjuk: rencana itu patut dianggap sbg ~ yg membina utk kebaikan gerakan kerjasama di seluruh negeri amnya; 3. amaran, peringatan;. Daripada maksud yang diterjemahkan oleh DBP, dapat kita simpulkan bahawa teguran itu merupakan suatu nasihat atau peringatan daripada suatu perkara atau perbuatan atau percakapan yang tidak berapa baik atau buruk hasil nilaian seseorang kepada yang lebih baik dan berguna untuk generasi seterusnya.
Dewasa ini kita sering mendengar keluhan generasi muda apabila mendapat teguran dari generasi lama, bagi mereka teguran generasi lama ini tidak sesuai dan sudah ketinggalan zaman. Bagi generasi muda, generasi lama perlu memahami dan menerima cara atau hasil kerja mereka tanpa persoalan. Akan tetapi generasi muda lupa bahawa generasi lama juga pernah melalui zaman mereka.
Surah As-Saffat(37)
مَا لَكُمۡ كَيۡفَ تَحۡكُمُونَ (١٥٤) أَفَلَا تَذَكَّرُونَ (١٥٥) أَمۡ لَكُمۡ سُلۡطَـٰنٌ۬ مُّبِينٌ۬
(١٥٦) فَأۡتُواْ بِكِتَـٰبِكُمۡ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (١٥٧)
(
Maksudnya;
Apa sudah jadi kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?[154] Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak)?[155]Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata (menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah)?[156](Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar. [157]
Jika kita renung akan maksud teguran itu, ia merupakan suatu perkara yang amat halus dan penuh dengan yang tersirat dan tersembunyi.
Teguran itu merupakan suatu yang sukar untuk kita terima kerana perkara yang ditegur itu juga merupakan suatu kebiasaan atau amalan yang sering kita amalkan. Tujuan teguran itu adalah supaya kita perbaiki diri daripada yang kurang baik kepada yang lebih baik.
Saiyidina Ali radhiyAllahu 'anhu pernah berkata:
"Beruntunglah mereka yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, terpedayalah mereka yang hari ini sama seperti hari semalam, celakalah mereka yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam."
Jika kita renung kembali sedalam dalamnya, bukankah Allah Ta'ala itu maha berkuasa dan mampu menggerakkan hati manusia? Bukankah kalam itu keluar dengan izinNya jua? Adakah kerana hijab yag menutupi diri ini lebih tebal sehingga terlindung terus untuk mengerti dan memahami petunjuk dari Nya? Adakah kita dapat menerima jika teguran itu adalah datang dari Allah Ta'ala? Begitu jahilnya kita sehingga tidak mengenal sang Pencipta. Bukankah setiap yang berfungsi didalam anggota badan kita juga adalah ketentuanNya jua? Masihkah kita mengaku nikmat kesihatan yang kita yang ada pada hari ini juga adalah dengan izinNya jua.
Adakalanya teguran yang disampaikan oleh generasi lama adalah keras dan tegas atau pun secara hikmahnya. Tetapi jika ditegur secara hikmah pon tetap tak faham maka dibolehkan untuk teguran secara sentak atau keras supaya terjaga dari lena yang panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan