Isnin, 25 Oktober 2010

Melangkah ke alam dewasa....





Assalamualaikum wrh.wbkth, salam keatas junjungan mulia Nabi akhir zaman Muhammad S.A.W, keatas para sahabat baginda Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a, seluruh makhluk yang menghuni alam ini...semoga berada didalam rahmatNya.




Alhamdulillah syukur keatas Allah kerana dengan izin dan limpah kurniannya dapat kita meneruskan perjuangan hidup ini dan masih diberi kesempatan untuk menulis blog ini, semoga perjalanan blog ini tidak menyimpang dari perjalanan hidup seorang hamba, insya'Allah.




Hari ini Isnin 25 oktober 2010, bersamaan dengan 17 Zulqaedah 1431 Hijrah, ilham yang diberi untuk membawa tajuk pada hari ini adalah "Melangkah ke alam dewasa", kalau disebut berkaitan dengan tajuk ini pasti terlintas dibenak hati kalian alam perkahwinan kan? Alam dewasa dan alam perkahwinan sememangnya tidak dapat dipisahkan umpama isi dengan kuku, umpama lirik dan lagu, umpama bunga dan bau dan sebagainya bentuk perumpamaan. Akan tetapi didalam tajuk kali ini aku lebih menumpukan soal alam dewasa berbanding dengan alam perkahwinan kerana alam dewasa skopnya lebih luas.




"Melangkah ke alam dewasa..." merupakan suatu perjalanan yang sukar dan penuh dengan cabaran dan godaan. Di alam dewasa segalanya bergantung keatas diri kita dalam membuat sebarang keputusan. Silap dalam membuat perhintungan dan keputusan maka akibat dan impaknya cukup besar. Silap langkah sahaja maka meranalah diri, deritalah jiwa. Oleh yang demikian perlunya ada tempat atau mentor atau seorang arifin (orang berilmu) sebagai rujukan dalam membuat sebarang keputusan.




Melangkah alam dewasa yang cuba aku kupaskan bukanlah bergantung kepada usia kerana alam dewasa ini suatu perkara yang subjektif. Adakala umur seseorang itu sudah menjangkau 60-an tetapi gerak gayanya masih di alam kanak-kanak mahupun alam remaja. Alam kedewasaan ini suatu alam yang mana cara percakapan, pemikiran, perbuatan serta tingkah lakunya matang dalam segala hal.




Menuju ke alam dewasa tidak semestinya perlu melangkah ke alam perkahwinan dan menuju ke alam perkahwinan juga tidak semestinya membuatkan seseorang itu dewasa. Akan tetapi apabila menuju ke alam perkahwinan maka ia juga proses dalam pembentukan alam dewasa. Tanpa menempuh alam perkahwinan, agak sukar bagi seseorang itu untuk menempuh alam dewasa kecuali dengan rahmat daripada Illahi.




Alam dewasa merupakan suatu alam yang mana gaya pemikiran, percakapan, perbuatan serta gerak lakunya akan menjadi model insan iaitu disebut qudwatul hasannah yakni contoh ikutan yang baik. Seorang insan yang layak untuk dijadikan model insan hanyalah insan agung, kekasih Allah iaitu nabi akhir zaman Muhammad S.A.W. Insan mulia yang menyebarkan suatu cara hidup yang mulia dan harmoni iaitu Islam dan Iman.




Seperti tajuk yang sebelum ini, banyak penulis sentuh soal melangkah, kerana untuk melangkah memerlukan suatu keputusan yang nekad dan jitu supaya tiada sebarang keputusan lain yang meracuni fikiran ketika membuat sebarang keputusan dalam melangkah. Oleh yang demikian, tajuk kali ini menyentuh soal melangkah ke alam dewasa iaitu keputusan dan usaha serta iktikad kita dalam menuju ke alam dewasa.




Proses dalam melangkah ke alam dewasa adakalanya memerlukan beberapa persiapan, akan tetapi ia bergantung juga pada diri seseorang. Adakalanya seseorang itu memulakan langkah tanpa berfikir panjang kerana baginya segala ketentuan itu adalah hak milik Allah Ta'ala, baginya kerja atau urusan seorang hamba itu hanyalah berusaha, berikhtiar dan bertawakal. Segala-gala ketentuan hanya serah pada yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Jenis orang sebegini akan belajar setiap masa dan keadaan. Setiap perkara yang terjadi itu pengajaran baginya dan diambil sebagai ikhtibar dalam mempersiapkan diri untuk perjalanan yang seterusnya.



Selain itu, ada juga seseorang itu mengambil jalan ilmu dalam mempersiapkan diri bagi menempuh alam dewasa ini supaya setiap perkara yang terjadi sudah menjadi ikhtibar baginya kerana persiapan diri sudah dibekal, seumpama sang pengembara dibekalkan ilmu alam, bela diri dan agama sebelum memulakan sesuatu perjalanan supaya jika ditimpa kesusahan, sang pengembara tahu jalannya kembali dan tidak terus tersesat dengan perjalanannya. Apabila ikhtibar yang berlaku sudah difahaminya maka datangnya syukur pada diri seseorang hamba.



Adakalanya dalam menempuh alam dewasa ini, seseorang itu tidak mempersiapkan diri.  Baginya segala yang berlaku adalah bergantung pada dirinya.  Akan tetapi orang yang sebegini akan menempuh juga alam dewasa tetapi akan melalui pelbagai dugaan dan cabaran yang amat sukar, jika berkahwin beliau akan bercerai-berai, jika berharta, hartanya akan habis sehingga jatuh muflis, jika berkedudukan tinggi dalam masyarakat, beliau akan jatuh dihina sehingga tiada siapa lagi menghormatinya sehinggalah beliau bertemu dengan sang arifin (orang yang berilmu) yang akan memimpin beliau kembali ke jalan yang haq.




(Gambar diatas sekadar hiasan sahaja) 



Selain itu, ada juga yang langsung tidak mahu ambil peduli soal melangkah alam dewasa, baginya setelah melangkah ke alam perkahwinan sudah memadai baginya. Dan akhirnya beliau sendiri terpedaya dengan ideologinya sendiri dan terus tersesat dan sukar baginya untuk kembali melainkan dengan rahmat dari Illahi.


Begitulah beberapa situasi bagi mereka yang akan melangkah ke alam dewasa, ada yang bertemu semasa melangkah, ada juga sudah mendalami ilmu sebelum melangkah dan apabila melangkah beliau sudah memahami apa yang terjadi, ada juga yang diuji dengan pelbagai cubaan dan godaan yang amat pahit kerana atas kesombongannya serta keangkuhannya untuk menempuh alam dewasa akhirnya setelah diuji dan beliau sedar bahawa beliau seorang hamba yang tiada daya upaya, tiada ilmu dan harta yang hendak dibangga, akhirnya beliau pasrah dan diberi kefahaman dalam menempuh alam dewasa. Dan akhirnya, ada juga yang langsung tidak menempuh alam dewasa kerana kejahilannya dan terpedaya dengan ilmunya.



Allah berfirman didalam Surah al-Dzariyat : ayat 56

"Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)"



Alam dewasa yang cuba daku huraikan bukanlah alam usia yang bermaksud daripada usia kanak-kanak hingga ke dewasa akan tetapi ia merupakan suatu alam yang perlu dicari dalam proses perubahan diri.


Akhir kalam, dalam menuju ke alam dewasa memerlukan suatu langkah yang jitu dan mantap supaya perjalanan kita mendapat keredhaanNya dan limpah kurniaNya.


Wabillahi taufik wal hidayah,wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...


wassalam...

People who read this post also read :



Tiada ulasan: