Rabu, 20 Oktober 2010

Apabila Sang Pungguk berbicara.....


Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh... salam sejahtera dan salam perjuangan kepada seluruh umat manusia yang terus berjuang meneruskan kehidupan dunia yang tiada penghujungan sehingga akhir hayat, semoga ada kesempatan menukar jalan ke jalan yang diredhai dan dirahmati NYA.

Hampir empat bulan selepas pemergian Ayahnda yang dikasihi, aku diam, sepi, membisu, tanpa berita, hanyalah kepada mereka yang amat hampir dengan ku sahaja tempat ku luangkan masa dan ketika.

Aku jarang dan tidak pernah menceritakan kisah peribadiku didalam blog, cuma sesekali tersasar jua akibat dihimpit perasaan dan kehendak diri yang menikam kalbu. Benar kata ilmuan kalam yang keluar berbentuk huruf lebih bisa dari suara kerana disitu terpahatnya jiwa.

Perjalanan dan aturan langkah demi langkah dalam menempuh alam dunia perlulah diperkemaskan bagi persiapan diri dalam menuju ke jalan hakiki.


Apabila Sang Pungguk berbicara, dunia sekeliling sepi dan sunyi bagi mendengar tutur kata Sang Pungguk yang selama ini diam membisu seribu bahasa sambil memandang bulan tanpa kerdipan mata.

Diamnya Sang Pungguk kerana memikirkan diri ini hanyalah seorang hamba, tiada daya upaya, tiada harta yang mampu untuk berbicara. Daya seorang hamba hanya akur pada suruhan Tuannya, tiada lagi masa atau ketika untuk memikirkan kehendak diri dan kepuasan hati. Apa yang terlintas dihati hanyalah suruhan Tuan yang mesti dipenuhi.

Sang Pungguk masih belum berbicara, apa yang terlintas hanyalah muhasabah seorang hamba, bertelaku, diam membatu diri sambil fikiran jauh melayang memikirkan kebesaran Ilahi. Kecil dan hinanya diri ini untuk berbicara walau sepatah perkataan, adakah kalam yang bakal keluar dari mulut kecil ini diredhai oleh Tuan empunya kalam?

Dunia masih diam membisu, sunyi seketika menunggu saat Sang Pungguk berbicara. Akan tetapi Sang Pungguk masih diam membisu dan masih memikirkan kalam apakah yang mampu seorang hamba berbicara. Supaya kalam hamba itu tetap kalam hamba dan bukanlah kalam Sang Pencipta. Takutnya Sang Pungguk kepada Sang Pencipta kerana dalam diri seorang hamba tiada apa yang hendak dibicarakan.

Akhirnya Sang Pungguk berbicara jua, katanya "Terima kasih wahai Sang Pencipta kerana hamba masih seorang hamba dan hamba bersyukur dengan rahmat dan kurniaan Mu". Dunia yang sunyi dan sepi mula kembali berbicara, selama Sang Pungguk diam membisu itu sahajakah yang ingin dibicarakan? Kenapa Sang Pungguk tidak menceritakan kisah dirinya yang lama menyepi diri?

Akan tetapi Sang Pungguk pun kembali kepada kedudukan asalnya mendiam diri sambil merenung rembulan mengambang di tengah malam yang sunyi.

Dunia juga tidak lagi mempedulikan Sang Pungguk kerana baginya biarlah Sang Pungguk dengan caranya kerana dunia tetap dunia dan Sang Pungguk tetap Sang Pungguk.



Sekian dulu kisah Apabila Sang Pungguk berbicara, tiada kalam, tiada suara, hanya huruf tersusun mengikut rentakNya.

Wabillahi taufik walhidayah...wassalam

People who read this post also read :



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam Sang Pencinta...
sudah terlalu lama tidak mendengar kabar brita..Takziah saya ucapkan atas pemergian ayahanda tercinta...semoga hidup Sang Pencinta terus berjaya n sentiasa diredhai-Nya...

Ridwan Yahya berkata...

Wa'laikumsalam,
Terima kasih keatas salam takziah, semoga Allah memberkati anda dan keluarga..insya'Allah...