Sabtu, 17 Oktober 2009

Kisah Seorang Peniaga Restoran....

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.....Selawat dan salam keatas penghulu kami Nabi Muhammad Salallahi Alaihi Wassalam serta para sahabat baginda dan seluruh mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat serta seluruh umat akhir zaman.


Salam sejahtera kepada semua penghuni alam maya, semoga kalian dilimpahi taufiq, hidayah dan inayah dan dibuka pintu hati untuk lebih mendalami islam insya'Allah.

Hari ini, 17 Oktober 2009 bersamaan dengan 28 Syawal 1430... jam 11.10 PM, hati ku mula tergerak untuk menyambung kembali penulisan didalam blog ini. Tajuk blogku pada kali ini ialah "Kisah Seorang Peniaga Restoran". Suatu hari aku pergi sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor, suatu tempat yang menjadi kebiasaanku mengisi masa terluang. Tokey restoran tersebut merupakan seorang yang cukup aku kenali dan sangat aku hormati kerana beliau sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar didalam sesuatu perkara. Aku menggelarkan dirinya sebagai Cikgu.

Beliau bercerita kepada ku, suatu hari...datang seorang hamba Allah yang berasal daripada nageria dan telah beberapa tahun bekerja di Malaysia, hamba Allah tersebut menjadi salah seorang pelanggan restorannya. Hamba Allah tersebut berkata padanya bahawa orang melayu di Malaysia sangat pemalas, bekerja pun tidak bersungguh-sungguh (ala kadar), kalau berniaga pun sekadar cukup makan sahaja. Maka Cikgu ini pun terdiam dan memikirkan sesuatu pengajaran yang dapat disampaikan kepada hamba Allah tersebut.


Beliau pun berkata pada hamba Allah tersebut bahawa orang melayu di Malaysia ini bukanlah sengaja untuk menjadi malas dalam suatu pekerjaan mencari duit, tetapi ada beberapa sebab yang membuat mereka begitu. Maka bertanyalah hamba Allah ini akan sebabnya. Cikgu pun berkata bahawa orang Melayu di Malaysia tidak bersungguh-sungguh mencari duit adalah kerana ingin menjaga keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Maka bertanya pula hamba Allah ini pada Cikgu bagaimana kaitan menjaga keimanan dengan tidak bersungguh mencari duit. Maka jawablah cikgu bahawa dengan menjaga keimanan kepada Allah S.W.T, maka tidak perlulah risau duit cukup ataupun tidak kerana dengan keimanan kepada Allah S.W.T maka kita tidak perlu risau rezeki daripada Allah S.W.T itu sentiasa ada dan disusun olehnya. Selain itu juga, Cikgu berkata bahawa kekayaan itu hanyalah bersifat sementara dan jika tidak tahu mengurusnya juga boleh membuat kita lupa tugas kita sebagai hamba Allah.

Firman Allah S.W.T.:

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." - Surah az-Zariyat: ayat 56.

Tidaklah Allah S.W.T berkata dijadikan manusia ini untuk mencari harta kekayaan supaya dapat dimanfaatkan oleh anak dan cucu pada kemudian hari.

Oleh itu kesimpulannya dengan harta kekayaan itu membuatkan kita alpa dan cuai dengan tugas yang diberikan oleh Allah S.W.T, tidaklah lain tetapi hanyalah untuk mengabdikan diri kepadanya.
Maka terdiamlah hamba Allah tersebut. Dan berkata Cikgu bahawa kerana tidak yakin dengan konsep keimananlah sampai ke Malaysia mencari duit.

Sebenarnya bukanlah hasrat Cikgu untuk mengatakan bahawa hamba Allah itu merantau ke Malaysia kerana tidak yakin dengan keimanan kepada Allah S.W.T. Tetapi hanyalah sekadar untuk memberi pengajaran kepadanya kerana terlalu cepat menghukum.


Allah berfirman:
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih ber-gantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau. Maka, peliharalah kami dari siksa neraka."(Surah Ali 'Imran, Ayat 190-191).

Hendaklah kita yakin dengan ke-enam-enam rukun iman itu, dan yang paling penting adalah rukun yang paling akhir sekali iaitu percaya kepada Qada' dan Qadar. Untuk menghuraikannya memerlukan suatu penerangan yang cukup mendalam. Tidak mampu untuk hamba yang lemah ini untuk menghuraikannya.

Setelah mendengar cerita Cikgu tersebut, aku pun terdiam dan kembali merenung akan diri ini.
Hendaklah kita sentiasa menjauhi laranganNya dan mengerjakan suruhanNya.

Kalau kita lihat dewasa ini, ramai dikalangan kita mengakui keislamannya, dan ramai juga dalam masa yang sama cepat menghukum sesuatu perkara. Orang ini betul, orang ini salah, orang ini benar dan orang ini sesat. Tetapi sedarkah kita semuanya sudah termaktub didalam luh-mahfuz? Semua yang bergerak dan beredar diseluruh cakerawala termasuk bumi, bulan, matahari dan bintang adalah susunannya. Sedar atau tidak, terlalu ramai sudah merampas sifat ketuhanan. Terlalu ramai yang ingin menghukum, sedangkan tugas seorang hamba itu hanyalah menyampaikan hukum.
Terdapat dua perbezaan yang agak besar walaupun ayatnya hampir sama iaitu menghukum dan menyampaikan hukum. Contohnya berkata seseorang kepada seseorang yang lain; "Kamu ini berzina dan berzina itu adalah suatu dosa yang besar". Ayat tersebut merupakan suatu ayat yang terus menghukum tanpa memikirkan implikasinya. Akan tetapi jika dilihat daripada contoh ayat yang lain; berkata seseorang itu kepada yang lain tanpa berniat untuk menghukum dan tidaklah ditujukan kepada individu-individu tertentu, "Hendaklah kamu mengingati Allah, jauhilah laranganNya dan kerjakanlah suruhanNya". Ayat tersebut merupakan ayat menyampaikan hukum.

Sekian dulu coretanku buat kali ini, wabilahi taufik wahidayah wassamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Isnin, 12 Oktober 2009

Nota Penting...

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.....dan salam muhibah kepada seluruh umat manusia yang menghni alam maya ini.

Harini ntah tetiba jek aku nak buat Nota Penting....

Untuk pengetahuan sesiapa yang sudi untuk meluangkan masa membaca isi blog ini, adalah dengan rasa rendah dirinya hamba persilakan.

Blog ini diwujudkan adalah untuk berkongsi pendapat dan idea dikalangan teman-teman yang singgah ke alam maya ini.
Blog ini adalah tidak berhasrat untuk menegur atau menasihati mana-mana individu atau pihak-pihak yang berkaitan kerana penulis bukanlah seorang yang cendiakawan atau cerdik pandai didalam bidang agama mahupun ilmu-ilmu yang berkaitan. Jikalau sesiapa yang tersinggung ataupun terasa dengan penulisan artikel ini, adalah dinasihatkan supaya rujuklah dengan ustaz-ustaz yang bertauliah, yang diiktirafkan oleh pihak yang berkaitan.

Blog ini adalah hasil daripada cedokan-cedokan ilmu sang bijak pandai ataupun yang arif, yang mana sentiasa memberi jalan petunjuk dan bimbingan kepada hamba.

Oleh yang demikian, hamba bukanlah seorang arifin mahupun seorang yang alim yang bisa dipanggil pak Ustaz kerana hamba tiada kelulusan agama bagi membicarakan soal agama.

Oleh itu kepada sesiapa yang tidak bersetuju dengan komentar-komentar daripada blog ini, adalah dinasihatkan supaya tidak membuang masa anda untuk memahami setiap bibit kalam yang cuba disampaikan. Supaya anda tidaklah dirosakkan dengan hasutan syaitan dan hawa nafsu yang berkobar-kobar mendesak supaya berlakunya pergaduhan yang tiada pengabisan.
Oleh itu adalah lebih baik anda membaca sesuatu artikel yang kena dengan ilmu dan nafsu kalian.

Jika anda berniat untuk menambah atau pun memberi suatu ulasan yang baik dan membina apabila pembaca lain membaca komentar anda adalah dipersilakan.

Adalah dimaklumkan kepada mana-mana individu ataupun pihak-pihak yang berkaitan supaya tidaklah mencari silap dan salah orang lain, tengoklah diri sendiri...

Sekian Terima kasih.

Wassalam.

Khamis, 8 Oktober 2009

Akur....

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh.....Salam serta selawat ke atas junjungan mulia kami Rasul akhir zaman, Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam, para sahabat baginda dan juga ahlul bait, para tabi'in dan juga para da'ie yang memegang amanah dari dahulu hingga ke hari ini tiada lain hanyalah menyampaikan amanah yang digengam dan dipegang erat untuk umat akhir zaman iaitu Islam. Agama yang dirahmati dan diredhai Tuhan sekalian alam, rabbul izatti...Allah Subhanahu Ta'ala. Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah rasul Allah.

Hari blog ini dinukilankan adalah; Jumaat 10 Oktober 2009, bersamaan 20 Syawwal 1430 jam 1:30 Am, kepala otak ku masih terasa segar walaupun semalam agak memenatkan. Jari-jemari ku kembali aktif menaipkan suatu ilham yang berlegar dalam jiwa ku, lalu ku terjemahkan dalam suatu tajuk ringkas iaitu "Akur" dan terus ku abadikan ia di laman blog ini.


Dan terus ku jumpai maknanya "(ber)setuju, menerima (sesuatu ke dudukan dsb): saya tidak ~ engkau kahwin seorang lagi; mengakuri menyetujui, menerima: teorinya diakuri segenap ahli penyelidik; “Keimen Baunka Shidosa” harus menyuguhi dan ~ kehendak-kehendak Jepun; mengakurkan 1. mencocokkan, menye suai kan; 2. mendamaikan (orang bertengkar dll); keakuran persetujuan, persesuaian, kecoco kan: saling mengerti dan ~ diperlukan dlm satu pertubuhan."
Didalam suatu kaedah ilmu ia menjelaskan bahawa akur itu melibatkan beberapa bahagian iaitu samada secara lisan dan seterusnya ke hati yang membenarkannya.

Sukar untuk mengulas akur itu sendiri kerana ia melibatkan perlakuan dan perbuatan. Hanya hakikat bagi hati sahaja yang boleh menterjemahkan kepada suatu perbuatan.

Allah berfirman :
Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang
kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu,
dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;
Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
[ Al-Baqarah: 216 ]
Amatlah sukar untuk kita bersetuju atau menerima sesuatu perkara itu yang tidak kena langsung dengan pendapat kita. Adakalanya mulut seolah-olah akur dengan sesuatu perkara tetapi hati seolah-olah memberontak dan menyangkal terus sesuatu perkara yang berlawanan dengan akal kita.

Akur itu tidak semestinya berlaku semasa sesi perbincangan atau pun menyuarakan suatu pendapat sahaja, tetapi ia juga melibatkan keadaan sekeliling kita. Adakalanya kita perlu belajar dengan keadaan sekeliling.

Sebenarnya susah untuk kita menghuraikan perkataan akur tanpa duduk didalam akur itu sendiri. Suatu perkataan yang mudah tetapi untuk diterjemahkannya memerlukan suatu huraian yang agak panjang mengikut tahap pemahaman seseorang.

Akur yang sebenar-benarnya adalah membenarkan sesuatu perkara samada secara lisan, perbuatan mahupun hati tanpa ada syak wasangka dengan Allah Ta'ala.

Sekian dahulu buat kali ini...Wassalam

Sabtu, 3 Oktober 2009

Ashraf Husainni, anugerah illahi...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam serta selawat keatas penghulu kami Muhammad Salallahi Alaihi Wassalam serta para sahabat baginda yang menempuh perjalanannya demi memperjuangkan Syiar Islam.

Salam sejahtera ke atas seluruh penghuni alam maya ini, semoga dilimpahi rahmat, taufik, hidayah dan inayah daripadaNya. Tuhan rabbul izatti.

Jarang sekali aku menaip dua tajuk dalam sehari, tetapi semuanya dengan izin mu jua ya Allah.

Ashraf Hussaini, anugerah illahi.., itulah tajuk yang cuba aku sampaikan. Entah mengapa nama ini mengusik seluruh jiwa raga ku. Hadirmu didalam keluargaku amatlah bermakna kerana kehadiranmu penuh dengan hikmah. Membuatku kelu seribu bahasa. Apa yang mampu ku buat hanyalah melihat senyuman mu.


25 September 2009, bersamaan dengan 6 Syawal 1430 Hijrah, lahirmu di dunia ini tanpa mengenal erti dosa dan pahala, halal mahupun haram. Engkau hadir dengan penuh kebaikan dan kesucian. Hadirmu dengan penuh kegembiraan.

Ashraf Hussaini Bin Abdullah merupakan anak angkat yang diambil oleh kakak ku. Semoga beliau memberi rahmat kepada seluruh alam, insya'Allah.

Hambamu ini masih merenung dengan pemberian mu ya Allah. Kehadiran Ashraf Hussaini amatlah istimewa. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Mu dapat hamba rasai pada diri bayi ini ya Allah. Kecil sekali diri ini untuk berdepan dengan mu ya Rabbi.

Ya Allah, jika dibandingkan dengan bayi ini, masih kotor hati hambamu ini untuk mengingati Mu serta tunduk dan patuh segala suruhan Mu ya Allah dan meninggalkan larangan Mu.

Hati ini masih engkar pada Mu dengan keenakkan duniawi yang terus menghimpit dan menarik jauh tangan hambamu untu terus mentaati Mu wahai tuhan pencipta sekalian alam.

Ashraf Hussaini, bertapa indahnya nama mu. Maka indahkanlah ya Allah perangainya. Semoga beliau menjadi teladan sekalian alam.

Ashraf Hussaini, kehadiranmu merapatkan tali silaturrahim kekeluargaan kami. Dirimu hadir tanpa dirancang kerana semuanya disusun oleh Mu ya Allah, Sesungguhnya engakaulah Maha Mengetahui akan sesuatu dan engkaulah yang Maha Merancang akan sesuatu yang langsung tidak diketahui oleh kami.

Allah berfirman:
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih ber-gantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau. Maka, peliharalah kami dari siksa neraka."(Surah Ali 'Imran, Ayat 190-191).

Semoga dengan kehadiran Ashraf Hussaini dapat diberkati dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Insya'Allah.
Sekian, Wassalam.

Iktibar di bulan Syawal

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...salam dan selawat ke atas junjungan mulia kami Muhammad Salallahialaihiwassalam...penghulu akhir zaman..yang memimpin kami dari jalan kesesatan kepada jalan kebenaran....

Salam sejahtera kepada seluruh penghuni alam maya, semoga diberi rahmat, taufik, hidayah dan inayah...Sesungguhnya sebaik-baik jalan adalah jalan yang ditunjuk oleh Muhammad S.A.W.

Hari ini 3 Oktober 2009, bersamaan 14 Syawal 1430 pada jam 3.00 petang, jari jemari ku kembali aktif menaipkan kalam yang berlegar di kotak fikiran ku yang kadang-kadang mengusik jiwa ku, lalu ku abadikan coretan ini didalam tajuk "Iktibar di bulan syawal".


Iktibar jika diteliti maksudnya ialah pengajaran ataupun teladan. Apabila kita menyebut iktibar, pasti kita memikirkan sesuatu peristiwa yang diturunkan bala bencana atau musibah yang berlaku samada pada masa kini mahupun masa lampau. Tetapi kita lupa dan alpa bahawa iktibar itu berlaku samada perkara itu baik ataupun jahat, cantik ataupun buruk, wangi ataupun busuk, musibah ataupun rahmat. Tetapi yang penting adalah kita belajar dan ambil pengajaran daripada hal yang berlaku disekeliling kita dan kaitkan ia dengan kebesaran Tuhan Rabbul Jalil, yang menyusun sesuatu itu dengan ketentuan yang tidak dapat dihuraikan dengan akal yang sering kali terpedaya dengan nafsu dan syaitan.


Kita sering melihat iktibar apabila berlaku kesusahan mahupun keperitan, adakah bila diturunkan bala dan musibah barulah manusia memikirkan kekuasaanNya? Persoalannya mengapa semasa senang dan diberikan rahmat, kita tidak mahu meletakkan ia sebagai iktibar? Adakah kita bangsa yang mudah lupa diri? Sampaikan perlunya bala dan musibah barulah nak berubah? Sedangkan didalam ayat Al-Quran Allah S.W.T berfirman:


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih ber-gantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau. Maka, peliharalah kami dari siksa neraka."(Surah Ali 'Imran, Ayat 190-191).
Kita sering meletakkan peringatan dan petunjuk daripada Al-Quran dan hadith itu tiada kaitan dengan diri kita sendiri. Kita meletakkan peringatan itu pada zaman dahulu sahaja. Ataupun kita meletakkan sesuatu peringatan itu pada kitab itu sahaja. Ataupun kita meletakkan sesuatu itu sekadar untuk menyokong hujah kita sahaja.

Mengapa tidak kita meletakkan petunjuk dan peringatan itu didalam diri kita? Pada setiap yang dikatakan oleh Allah dan Rasul itu pada diri kita?

Masih bebalkah diri ini sampaikan Allah tunjukkan kebesarannya secara nyata baru lah nak ambil iktibar? Berlakunya Tsunami, Gempa Bumi, Banjir Besar, Ribut Taufan dan sebagainya, barulah nak ambil iktibar? Ingatlah wahai saudara ku, tatkala berlakunya bala dan musibah ini, segala-gala pemberiannya akan diambil, termasuklah keluarga, harta, pangkat, dan kuasa. Apabila diri tidak mempunyai apa-apa, hatta sepasang pakaian yang menutupi tubuh sekalipun, adakah diwaktu itu barulah nak mengingati Allah dan akur segala suruhan dan larangannya?

Bulan Syawal merupakan bulan yang penuh dengan kegembiraan, dalam bulan yang gembira ini pula diturunkan bencana agar manusia sentiasa sedar akan kekuasaannya. Adakah dengan bencana ini menandakan Allah marah dengan manusia? Jika dilihat dengan pandangan akal, berlakunya hari ini dengan pembunuhan yang kejam, bapa rogol anak kandung, abang bersekedudukan dengan adiknya sendiri, anak pak imam dirogol tanpa belas kasihan, dan pelbagai peristiwa yang melampau dek akal. Adakah peristiwa itu berlaku dengan kerakusan nafsu dan syaitan didalam diri manusia?

Wahai saudaraku, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah. Ingatlah dan ambilah pengajaran bahawa sesuatu yang berlaku samada baik atau buruk semuanya dengan izinNya. Redhalah saudara ku. Ambillah pengajaran itu keatas diri kita, bukanlah keatas diri mangsa-mangsa yang berlakunya kejadian tersebut. Sesungguhnya segala yang berlaku itu semuanya disusun olehNya. Ingatlah saudaraku, sesungguhnya seksaan kubur itu benar, seksaan neraka itu benar dan balasan syurga itu benar, akhirat juga benar dan hari pengadilan itu benar.

Sekian dulu buat kali ini, sesungguhnya yang baik mahupun buruk semuanya datang darimu ya Rabbi, hambamu ini tiadalah daya upaya untuk menggerakkan sesuatu tanpa izin Mu ya Allah.

Wassalam.