Khamis, 10 Julai 2014

Kisah seorang ulama dan pendapatnya..

Assalamualaikum dan salam sejahtera, alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk berubudiah dan mensejahterakan alam ini.  Selawat dan salam keatas nabi junjungan mulia Muhammad SAW, para sahabat dan ahlul bait yang dikasihi Allah SWT semoga kita berada diatàs jalan yang diredhai Nya... insha'Allah.

Pada 20hb Jun 2014, syarikat tempat saya berkerja telah menjemput seorang ustaz untuk memberi tazkirah dan tazkirah itu berkaitan dengan bulan ramadhan yang bakal tiba.  Apa yang menarik dan menyentuh kalbu saya adalah apabila ustaz tersebut bercerita berkenaan dengan pendapat seorang ulama masa silam.  Pendapat dan nama ulama itu sentiasa tergiang-giang dibenak pemikiran saya sehingga kini, walaupun sudah tiga hari berlalu.  Ada sesuatu yang ingin saya kongsikan bersama, kerana ia sesuatu kata-kata yang menusuk kalbu saya sehingga kini.

Perkara pertama sekali yang saya buat adalah cuba google nama ulama tersebut dan kisah berkaitan dengan dirinya.  Masha'Allah...beliau bukan calang-calang orangnya.  Sebelum saya bercerita tentang pendapat ulama tersebut, saya rasa eloklah kiranya saya perkenalkan namanya dan latar belakangnya.

Nama beliau adalah Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi merupakan seorang ulama dan pemikir Islam yang ulung.  Beliau dilahirkan pada 6 Muharram 1333H / 23 November 1914M di Takia Kala, Rae Berily, India.  

Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abdul Hayy bin Fakhruddin bin Abdul Aliy al-Hasani.  Nasabnya sampai kepada Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a. Beliau amat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang amat berpegang teguh dengan ajaran Islam. Ayahnya Sayyid Abdul Hayy seorang ulama di India manakala ibunya juga seorang pendidik dan hafaz al Quran serta syair-syair sejarah Islam dalam bahasa Urdu.
Dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu, tidak hairanlah minat membaca beliau terserlah sejak kecil lagi.  Beliau gemar mengumpul kitab dan mempunyai satu sudut bacaan sendiri yang dinamakan sebagai Maktabah Abil Hasan Ali (Perpustakaan Abul Hasan Ali).

Sejak kecil juga Syeikh Abul Hasan telah didik dengan pelbagai ilmu pengetahuan meliputi bahasa Arab, nahu, syair, sastera Arab, tafsir, fiqh, hadis dan sebagainya. Ramai dikalangan gurunya datang dari India dan ada juga di antara mereka yang datang dari Madinah.  Diperingkat awal, beliau hanya belajar di rumah dan di madrasah Nadwatul Ulama. Setelah itu beliau mengorak langkah ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti Lucknow dan di sini, beliau telah berjaya mencapai kecemerlangan tertinggi dalam bidang Bahasa Arab. Kemudian beliau meneruskan lagi pengembaraan ilmunya hingga membawa beliau ke Lahore. Di sinilah dia bertemu dengan seorang sarjana dan pemikir agung dunia Islam iaitu Dr. Muhammad Iqbal. Kekaguman beliau dengan karya-karya Iqbal mendorong beliau untuk menterjemahkan beberapa syair Iqbal daripada Bahasa Urdu kepada Bahasa Arab, walaupun usianya pada ketika itu hanya sekitar 15 tahun sahaja.

Setelah hampir tiga suku usianya dihabiskan dengan perjalanan ilmu dan dakwah, menyeru umat Islam agar kembali teguh kepada al-Quran dan sunnah, maka pada tengah hari Jumaat, 23 Ramadhan 1420H / 31 Disember 1999M, beliau telah dijemput Allah SWT pulang ke sisiNya ketika sedang bersiap-siap untuk menghadiri solat Jumaat di kediamannya, ketika usianya mencecah 85 tahun. Sebagai mengenang jasa beliau yang telah dicurahkan untuk kepentingan agama, maka telah diadakan solat jenazah ghaib di dua tanah suci iaitu di Masjidil Haram di Makkah al Mukarramah dan di Masjid Nabawi di Madinah al Munawwarah pada malam 27 Ramadhan 1420H.
Selebihnya anda boleh baca diblog ini 
http://tamanulama.blogspot.com/2008/10/syeikh-abul-hasan-ali-nadwi-zuhud-yang.html?m=1

Pendapat dan kata-kata almarhum yang ingin saya kongsikan apabila diceritakan oleh seorang ustaz kepada kakitangan- kakitangan syarikat tempat saya berkerja ialah; 

"Persoalan yang diajukan kepada semua kenapa umat Islam di dunia kini lemah?  Sedangkan satu kajian di Vatican City menunjukkan penganut agama Islam adalah yang paling ramai di dunia tetapi kenapa masyarakat Islam sering ditindas dan dihina?"

Jadi ulama An Nadawi ini telah mengandaikan bahawa masyarakat Islam ini memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai karaktor yang bijak, berpengaruh besar, dan kekuatan strategi yang hebat tetapi pemimpin tersebut sudah mangkat dan bagi mengingati beliau sebuah patung atau tugu dibina seakan-akan pemimpin tersebut.  Tetapi malangnya walaupun tugu tersebut nampak hebat, hinggapnya seekor burung pipit diatas kepala patung tersebut lalu diberaknya dan najis tersebut meleleh dari atas ke bawah.  Walaupun hebat tapi patung tersebut tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang tindakkan burung tersebut.
Itulah perbezaan antara realiti dan fantasi.

Realitinya adalah burung pipit dan fantasi nya adalah patung tersebut.

Realitinya seekor burung yang kecil mampu membuat kerosakkan pada sebuah patung yang kononnya menggambarkan seorang yang hebat tetapi tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Fantasinya patung tersebut adalah pandangan umat Islam sekarang masih tidak berpijak pada hakikat yang nyata kerana masih mengharapkan seorang individu yang hebat mengubah sesuatu.  Sedangkan dalam al-Quran menyatakan Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum tersebut mengubahnya.  Lagi satu An-Nadawi mengatakan bahawa umat Islam sekarang tidak mengamalkan Al-Quran dan As-Sunnah yang sebenar-benarnya.  Umat Islam hari ini hanya menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai hujah sahaja tetapi tidak mengamalkan intipati didalamnya.  Ibarat tin kosong bila diketuk kuat bunyinya dan menyakitkan telinga yang mendengarnya.

Begitulah perangai dan perilaku umat Islam harini.   Terpedaya dengan pemikiran dan tanggapan sendiri kerana terlalu mengikut hukum akal dan nafsu.  Iman dan Ilmu jauh sekali sebagai pertimbangan.  Mengamalkan Islam bila rasa kena pada nafsunya.  Kena pada akalnya.  Maka terhijablah Ilmu dan Iman didalam dada.  Yang kaca disangkakan permata.  Permata disangka kaca.  Walaupun ada sijil PHD dalam bidang keilmuan Islam sekalipun, masih tertipu dengan akal dan nafsu sendiri.

Wallahualam bissawab.