Rabu, 23 Jun 2010

~Mencari kebahagiaan....~

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera buat semua penghuni dunia, semoga kalian dirahmati dan bahagia hendakNya.

Hampir 4 bulan aku menyepi diri dari dunia blogger, kerana terlalu leka dengan nikmat dunia yang melalaikan hati ini dari mengingati Mu ya Rabbul Izzati. Terlalu lemah hati ini untuk menahan godaan dunia yang begitu mempersonakan dan jauh dari hakikat yang sebenarnya.

Aku kembali tersentak dari lena yang panjang setelah pemergian orang yang aku paling sayang dan hormati, ayahndaku Yahya Bin Ismail pada 21 Jun 2010, jam 1.15 pagi waktu Malaysia. Beliau meninggal dunia di Jeddah setelah selesai mengerjakan ibadah Umrah dan Ziarah. Takdir menentukan jenazah Allahyarham disemadikan di Jeddah setelah penerbangan beliau dibatalkan pada saat akhir. Beliau meninggal didalam lena yang nyenyak seolah tiada apa yang menganggu beliau, beliau pergi dalam ketenangan dan aman setelah urusan dunia beliau selesai. Al-Fatihah wa Yassin ila arwahi walidina wa walidikum wa ila arwahil muslimina walmuslimati kaffatan 'ammatan, khussusan ila ruhi almarhum Yahya Binti Khadijah wa usulihi wafuru'ihi waman yantansibu ilahi ajma'in, wa ilahi hadrati nabiil mustaffa rasulullahi salallahu ailaihiwassalam wa ilahi wa ashabihil kiramil fatihah.



Hamba Mu ini sedar ya Allah didalam setiap qada' dan qadar Mu tersimpan seribu rahsia dan hikmah, hanya yang beriman sahaja memahaminya dan hamba Mu ini masih dhoif dalam menuju nur iman Mu ya Rabbi, masih terhijab hati ini untuk memahami petunjuk yang Engkau berikan...masya'Allah begitu bodohnya hamba Mu ini untuk mengerti akan yang tersirat itu wahai Zat Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...Begitu banyak kenangan bersama arwah bermain di minda ini, pesanan dan nasihat dari arwah masih tergiang-giang ditelinga, seolah-olah baru semalam sahaja berjumpa arwah. Subhanallah ya Allah..kuatkan lah hati dan iman hambamu ini. Selama ini aku sentiasa memberi kata-kata semangat untuk mereka yang mengalami kehilangan orang yang tersayang. Tetapi bila diri ini mengalami situasi sebegini, agak sukar untuk menerima kenyataan yang telah ditakdirkan...hamba Mu redha akan ketentuan Mu ya Rabbi.

Kepada mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa yang masih hidup, berbaktilah kepada mereka sebelum terlambat.

Maafkan aku wahai teman, emosi dan perasaan membentak jiwa ini untuk meluahkan yang terbuku dihati ini. Walaupun tidak dapat diluahkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapat melegakan hati ini dari dihimpit akal yang menipu daya yang mengheret kedukaan ini dari jalan hakiki.

Berbalik kepada tajuk utama blog ini "Mencari kebahagiaan...", jika dilihat erti kebahagiaan itu yang aku petik dari laman web wikipedia bermaksud; Kebahagiaan ialah suatu keadaan perasaan aman damai serta gembira. Dengan kata yang lain, kebahagiaan melebihi hanya perasaan kegembiraan. Umumnya, kegembiraan amat berkait dengan sesuatu kejadian atau pencapaian yang khusus, sedangkan kebahagiaan berkait dengan keadaan yang lebih umum seperti kesenangan hidup atau kehidupan berumah tangga. Bagaimanapun, kedua-dua perasaan ini adalah amat berkait dan juga amat subjektif.

Kebahagiaan seseorang tidak dapat diukur atau digambarkan, dan berubah-ubah mengikut peredaran masa dan tempat. Orang yang kelihatan bahagia tidak semestinya bahagia, dan orang yang kelihatan tidak bahagia tidak semestinya tidak bahagia. Cuma orang itu sendiri yang tahu (iaitu berasa) sama ada dia bahagia atau tidak.

Pengertian kebahagiaan berbeza-beza antara seorang dengan seorang. Ada yang berasa bahagia kalau dia mendapat makanan, pakaian dan kediaman yang paling sederhana, terelak daripada penyakit, kelaparan, dan perang. Sebaliknya, ada orang berasa tidak bahagia meskipun hidupnya dalam keadaan yang aman, mewah, sihat, dan senang-lenang. Ada orang berasa tidak bahagia sekalipun, walaupun dia mempunyai kuasa, status, dan kekayaan.




BismillahirRahmanirRahim

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[1]Demi waktu dhuha,[2]Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
[3](Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).[4]Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.[5]Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.[6]Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?[7]Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?[8]Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?[9]Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,[10]Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;[11]Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

Kebahagiaan itu adalah suatu kurniaan yang tidak terhingga oleh yang maha Esa pada diri seseorang, adakala hati si suami merasakan bahagia setelah melihat wajah isteri dan anak-anaknya bersorak riang dan gembira. Adakalanya hati seorang dermawan itu bahagia setelah melihat wajah gembira dari seseorang yang memerlukan bantuan dan pertolongan dibantu dengan sepenuhnya. Adakalanya seorang hamba merasa bahagia ketika dapat bemujahadah dengan Sang Pencipta.

Ukuran kebahagiaan itu sukar untuk dilafazkan kerana hanya si empunya diri sahaja yang tahu akan kebahagiaan yang dikecapinya.



Adakah dengan mempunyai harta yang banyak serta aset yang melimpah ruah akan membuatkan diri anda bahagia? Ada rumah besar, kereta besar, ada syarikat mahupun kompeni yang besar dan kukuh mampu anda memperolehi kebahagiaan?

Setiap kurniaan atau pemberian itu ada harganya, jika tidak tahu cara meletak atau menyalurkan atau memulangkan sesuatu kurniaan atau pemberian itu akan memudaratkan diri seseorang itu, jadi perlulah kita sedar hakikat diri yang sebenar seorang hamba itu tetap adalah seorang hamba. Manakan seorang hamba boleh merampas kuasa Sang Pencipta, jika seorang hamba itu terlanggar batasan seorang hamba, maka akan ada suatu perkara atau keadaan yang diberi peringatan untuk menyedarkannya samada secara halus, sedar mahupun kasar bahawa seorang hamba adalah hamba jua. Hamba itu diberi tugasan iaitu didalam surah Adz-Dzariyat ayat 56 Allah berfirman bahawa "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku"

Apabila datangnnya suatu musibah, penyakit, kemiskinan atau kedhoifan, hendaklah kita kembali kepada asal iaitu menjadi seorang hamba yang patuh dan syukur.

Kebahagiaan itu boleh difahami dengan keimanan bukanlah dengan akal mahupun nafsu kerana dengan akal mahupun nafsu sering membutakan hati dengan tipu daya dan bisikan iblis atau syaitan yang sering tidak puas-puas akan sesuatu perkara. Baginya dunia adalah kekal selamanya, akhirat hanyalah dogengan dan khayalan. Barang yang haram dihalalkan dan yang halal diharamkan. Itulah akan terjadi apabila hati dibutakan oleh akal dan nafsu. Ingatlah wahai teman ku, hati yang bersih akan dipandu oleh iman yang sempurna.

Manakan boleh kebahagiaan dan kecelakaan itu seiringan. Hanya hati yang buta sahaja merasakan kecelakaan itu kebahagiaan. Bahagia yang sebenarnya sukar diceritakan kerana hati yang dipandu dengan iman sahaja yang mengerti erti kebahagian hakiki. Jika hati dipandu oleh akal dan nafsu, maka kebahagiaan yang dirasakan hanyalah khayalan dan dongengan pentas dunia yang sementara.



Akhir kata, kenalilah erti kebahagiaan yang hakiki kerana kebahagiaan yang hakiki sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Itulah kebahagiaan yang sukar dicari dan ditukar ganti. Kebahagiaan bukanlah untuk digambarkan, dan bukan juga untuk diceritakan tetapi kebahagiaan itu adalah untuk dikecapi dan dirasai akan nikmatnya. Bahagianya seorang kekasih bila bertemu kekasih.

Sekian, wabillahi taufiq wa hidayah, wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.