Jumaat, 19 Februari 2010

Bila diri disayangi....

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...dan salam muhibah serta sejahtera ke atas seluruh umat manusia. Dengan nama Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang meliputi segenap lapisan seisi alam yang penuh dengan kasih sayang dan kemurahan Nya. Semoga hati yang penuh dengan kasih sayang terus bersemai di segenap sudut jiwa dan perasaan, kepada mereka-mereka yang masih dibuai dengan kelekaan arus dunia yang penuh dengan tipu daya dan khayalan. Sesungguhnya kasih sayang Maha Pencipta itu tidak mengira darjat, pangkat mahupun kemuliaan atau kekuasaan yang masih dipandang oleh manusia-manusia yang terlalu rakus memandang keduniaan yang kononnya kekal abadi sepanjang zaman.


Alhamdulillah, setelah lama aku menyendiri serta menyepi diri dari dunia penulisan, terlalu banyak pengajaran yang dapat mendidik jiwa ini tetapi tidak dapat diluahkan serta diterjemahkan diruangan blog ini, harapan agar diberi kemaafan kepada hamba yang dhoif ini.


Aku tertarik dengan suatu lagu yang sebelum ini aku temui di laman facebook yang dipostkan oleh temanku, sekali pandang hanyalah sebuah lagu yang bermain dibibit telinga serta lagu cinta atau jiwang kepada mereka-mereka yang dilamun rasa cinta.
Tujuan aku mengambil tajuk lagu ini sebagai sebuah tajuk kepada blog aku kali ini supaya kalian dapat merenungi akan maksud kasih sayang yang tersirat didalam lagu ini.

Ukay's - Bila Diri Disayangi

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermentera
Bermulanya siang berakhir malamku
Tak akan kujemu menyebut namamu
Tiada batasan waktu
Tiada tempat mu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan kasih
Merubah takdir
(Korus)
Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru ku ucap namamu
Terasa diriku kembali dipandu
Engkau yang pertama tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan engkaulah cahaya
Izinkahlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang mu
Ku berserah diri
Tiada batasan waktu
Tiada tempat mu tertentu
Di gunung di lembah, di darat, di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan kasih
Merubah takdir..
(ulang korus)
keikhlasan doa, keagungan kasih
Merubah takdir..



Rentak lagu serta melodinya terus bermain hinggalah habis lagu ini. Tetapi bukanlah lagu ini yang ingin aku kupaskan. Apa yang ingin aku utarakan adalah kalimah "Kasih dan Sayang" yang sering kita sebut setiap hari tidak kira dimana kita berada dan apa jua tujuan kita, kita pasti akan menyebutnya. Iaitu kalimah agung yang juga merupakan ayat pertama surah Al-Fatihah dan juga permulaan bagi pembacaan sesebuah ayat atau surah didalam Al-Quran. Tidak lain dan tidak bukan kalimah "Bismillahirahmanirrahim"; Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.



Bukannya susah untuk menyebutnya bukan? Sebagai umat Islam kita disarankan membacanya dikala ingin memulakan sesuatu pekerjaan, minum, makan, dan sebagainya. Kita diajar supaya mengingati kasih sayang Allah bila memulakan sesuatu perkara.

Tetapi sebagai insan manusia, kita hanya menyebut kalimah ini apabila kita diingatkan atau teringat atau apa sahaja. Akan tetapi jarang sekali kita merenungi akan maksud yang tersirat didalam kalimat ini, samada dari segi ejaan hurufnya, maknanya, bilangan hurufnya, tetapi jika dikaji daripada sudut sebegitu sampai bila pun tidak akan selesai. Apa yang perlu direnungi akan maksud kasih sayang ini hendaklah diamalkan atau diterjemahkan didalam bentuk pengamalan samada keatas diri sendiri, keluarga, sahabat-handal, masyarakat dan seterusnya seisi alam.

Jika dilihat kasih sayang keatas diri sendiri, adakah kita kasih dan sayang akan diri sendiri? Jika kita kasih dan sayang akan diri sendiri...adakah kita pelihara 8 anggota jasad kita iaitu mata, telinga, hidung, mulut, tangan, kaki, perut dan akal kita daripada terluka, terseksa dengan perbuatan kita sendiri. Bolehkah kita gunakan mata untuk melihat kasih dan sayang Allah? Sesuatu perkara yang dapat mengaitkan kita dengan kasih sayang Allah. Mulut untuk bercakap benar dan baik, bukanlah untuk menyakitkan orang lain. Jadi tidak perlulah aku huraikan satu persatu kepada kalian tetapi yang pasti kita sering alpa dan terleka kerana menganggap pemberian itu adalah hak dan kepunyaan kita. Jika ditarik akan salah satu nikmat tersebut mampukah kita mengantikannya seperti sedia kala?



Kasih sayang dengan keluarga pun susah kita nak implementasikannya kerana didalam hati masih tersimpan perasangka-perasangka yang merosakkan dan terus menjahanamkan diri sendiri. Ingatlah wahai saudaraku, Allah itu mengikut perasangka hambanya. Jika kalian fikir akan keburukan dan kerosakan maka begitulah jadinya. Jangan sesekali mengatakan diri sendiri sahaja yang benar, renungilah diri sebelum meletakkan kesalahan itu kepada yang lain. Seorangustaz pernah berkata kepadaku, jika kita masih rasa diri sendiri betul maka tidak betullah tu, jika kita rasa diri kita tidak betul dan berusaha untuk membetulkannya maka disitulah kebenarannya.

Jika dilihat akan kasih dan sayang Allah itu, maka tidak terhintunglah banyaknya. Tanpa kudrat dan iradat serta ilmu yang diberikanNya adakah masih kita mengaku sesuatu perkara itu masih milik kita?Sedarkah kita semua itu hanya pinjaman semata-mata? Jika diberi penyakit angin ahmar atau strok, ditarik balik kurniaanNya, hatta seorang professor sekali pun, untuk ingat nama sendiri atau menyebut nama sendiri pun tidak berkemampuan. Masih mampu mendabik dada untuk mengatakan diri kita hebat? Tanpa kita maka tidak sempurnalah sesuatu perkara itu? Begitukah sifat yang harus ditunjukkan oleh seorang hamba? Diberi sedikit kelebihan terus lupa akan tugas seorang hamba? Terus mengaku diri menjadi Tuhan...mana mungkin seorang hamba bertukar menjadi Tuhan? Hamba tetap seorang hamba, itulah hakikatnya. Darjat seorang hamba hendaklah sentiasa berada dibawah.



Begitulah tingginya kalimah Bismillah itu, masihkah kita mengira dalam satu hari berapakali kita tarik nafas? Masihkah kita mengira berapa jumlah oksigen yang diberi Allah S.W.T kepada kita untuk dihirup dalam masa 10 saat? Walaupun kita lupa untuk tunduk dan patuh pada perintahNya tetapi masih diberi oksigen yang mencukupi malah sama banyak dengan mereka-mereka yang sering mengingatinya sepanjang waktu...bukan? Masih cukup makan dan minum, masih menutup aurat, masih dapat membersihkan diri, mandi dengan secukupnya.

Ya Allah, hambamu ini dhoif, ampunkanlah Ya Allah, hambamu ini banyak berdosa, ampunkanlah, hambamu ini sesat ya Allah, tunjukkanlah kebenaran ya Allah, ya Rahman, ya Rahim, Kasih Sayang Mu tidak mampu hamba Mu ini menilai ya Allah.

Selawat serta salam keatas junjungan mulia Muhammad S.A.W, para sahabat baginda, para awlia, para thabi'in, para syuhada dan para anbiya yang memperjuangkan jalan kebenaran sehingga ke hari ini.

Sekian Wassalam.