Rabu, 30 September 2009

Aku termenung dan termanggu....

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....selawat serta salam keatas penghulu sekalian alam, nabi akhir zaman...Rasulullah Salallah Alaihi Wassalam serta Rabbul Izatti, Tuhan pencipta sekalian alam...salam keatas seluruh umat manusia yang menghuni alam maya ini, semoga kalian memanafaatkan massa yang diberikanNya agar apa yang kalian lakukan itu tidaklah sia-sia....

Jam 12.30 AM pada penghujung bulan September 2009, kepala aku masih segar dan idea serta ilham mencurah-curah bagaikan hujan menyembah bumi....dengan kesempatan yang diberikan oleh mu Ya Allah, hambamu tanpa membuang massa...cuba mengambil kesempatan yang diberikan oleh mu untuk diterjemahkan di laman blog ini...bagi sama-sama kita kongsikan buah fikiran masing-masing.

Aku Termenung dan Termanggu
seketika....langsung tidak terniat untuk mencari idea mahupun buah fikiran untuk disemadikan dilaman blog ini....tetapi hatiku berdetik untuk mengisi kekosongan yang ada dengan menaipkan serba sedikit daripada tajuk yang cuba ku sampaikan iaitu "Aku termenung dan termanggu".

Dengan lafaz kalimah ulung dalam kitab petunjuk sepanjang zaman, Al-Quran Al-Karim.....Bismillahirahmanirrahim, dengan nama Mu yang bersifat Ar-Rahman dan bersifat Ar-Rahim hambamu ini memulakan madah tanpa kalam dan bunyi....terus laju menaip apa yang diberikan oleh Mu Ya Rabbul Izatti....

Dalam termenung dan termanggu....seluruh jiwaku bergetar memikirkan perjalanan kehidupan yang sementara ini......terlalu banyak kemahuan dan kehendak yang merosakkan hati ini untuk mentaati jalan Mu Ya Rahman...Lahaula wala khuwata illah billahil aliyilazim, tiada daya upaya ku Ya Allah, dan segala-galanya ku serahkan pada MU, Sesungguhnya Engkaulah yang maha berkuasa lagi maha bijaksana...

Aku masih termenung dan termanggu memikirkan perjalanan yang penuh dengan onak dan berduri ini yang terpaksa hambamu tempuh demi meneruskan perjalanan ke jalan yang hakiki, jalan yang satu, jalan yang engkau redhai...




Aku bersyukur kehadratmu Illahi kerana dengan rahmatmu yang maha Perlindung, yang sentiasa melindungi hambamu ini daripada tersasar ke jalan yang Engkau tidak redhai. Terasa diri ini amat kecil dan tidak berupaya untuk melakukan apa-apa...malah untuk menggerakkan jari menaip jauh sekali...bergetar seluruh jiwa ragaku bila mengingati mu ya Allah. Bertapa kerdilnya hambamu ini...

Bertapa indahnya susunan Mu yang maha mengetahui, daripada yang tiada kepada ada dan daripada ada kepada tiada...sesungguhnya beruntunglah kepada mereka yang bersyukur dan patuh pada jalan mu ya Allah.

Masih lagi termenung dan termanggu...massa terus berlalu meninggalkan daku yang masih menaip dan meneruskan madah tanpa bicara...sepi dan bisu seribu bahasa...yang ada hanyalah bisikan hati yang sentiasa mengingati mu...lemah dan longlai seluruh jasad ku...sesungguhnya seluruh jasad dan roh ini kepunyaan mu....tiada satu pun yang aku sanggup untuk aku akui milikku...segala-galanya milikmu ya Allah...malah untuk menggerakkan jari-jemari pun dengan ilmu, kudrat dan iradat mu...bertapa lemahnya seorang hamba ini...kalaulah dicabut kuniaan ini...terdampar kaku diatas katil..hanya dapat melihat apa yang berlaku....masih lagikah hati ini bongkak dan sombong untuk berdiri dan mengaku segala-galanya masih pada diri?

Aku mengeleng kepalaku sendirian mengingati insan-insan disekelilingku yang masih alpa dan lupa yang dunia ini hanyalah sementara dan akhirat itu kekal abadi...

Masih ada lagi yang merancang untuk mengumpulkan harta dan kekayaan yang merosakkan hati ini untuk terus mentaatimu ya Allah.


Pelbagai alasan dan pendapat yang diberi demi menegakkan benang yang basah....yang diselaputi dengan akal dan hawa nafsu yang membuak-buak, mendesak untuk mencari kekayaan bagi memenuhi tuntutan hawa nafsu yang inginkan kemewahan yang bersifat sementara. Inginkan rumah yang besar, kereta mewah, isteri ataupun suami yang lawa dan segak. Kami ini pelupa ya Allah...sesungguhnya nikmat mu ini menjauhkan hati kami ini daripada mentaati mu dan meninggalkan perkara-perkara mungkar yang engkau larang ya Allah. Desakkan syaitan dan nafsu yang bersifatkan binatang ini masih membelenggu jiwa ini untuk mencapai segala-galanya nikmat dunia. Nikmat dunia yang palsu ini amatlah menyeronokkan...tetapi semakin dicapai semakin tamak....semakin bongkak...semakin lupa diri....


Jam dindingku mengisyaratkan jam 1.30 pagi, waktu sudah berlalu, dan terus berlalu, meninggalkan daku yang masih terkontang-kanting..termenung dan termanggu sendirian. Jiwa ragaku masih segar...alhamdulillah ya Allah kerana masih memberi nikmat untuk hambamu ini terus bermuhasabah diri.

Dapatkah ya Allah, untuk hambamu ini menjaga amanah yang engkau berikan ini untuk memakmurkan diri dengan mentaati mu dan mencegah diri ini daripada melakukan kemungkaran terhadapmu?.

Persoalan demi persoalan menimpa diri ini, mempersoalkan kewajipan seorang hamba untuk mengabadikan diri kepada Tuhan yang maha Pencipta.

"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." - Surah az-Zariyat: ayat 56.

Masih aku termenung dan termanggu memikirkan persoalan-persoalan yang bermain di benak fikiranku, adakah bila buat salah dan dosa sahaja baru nak teringat padaNya? Kalau macam tu tiada bezanya kita dengan agama-agama yang lain. Tiap kali buat salah barulah nak bertaubat. Tuhan tu wujud bila ada rasa bersalah. Astaghfirullahal azim...ya Allah...ya Rahman...ya Rahim, peliharalah lisan ini daripada berkata-kata sesuatu yang sia-sia.

Begitu luas ilmu mu ya Allah, ibaratkan setitik air dilautan...yang tiada penghabisan.

Sekian sahaja buat kali ini, semoga dibukakan hijab yang menutupi hati ini ya Allah agar dapat aku mengabadikan diri ke jalan mu.

Wassalam.

Ahad, 27 September 2009

$-: Diam dan Tutup Mulut :-$ episod 2

Assalamualaikum warrahmatullahiwabarakatuh...dan Salam Muhibah....hari ni 27 Septamber 2009 bersamaaan dengan 8 Syawal 1430....Selawat serta salam keatas junjungan mulia penghulu kami Muhammad Rasulullahi Salallhialaihi Wassalam...Semoga dibulan Syawal ini terdapat beberapa perubahan diri yang lebih baik dan terus berkekalan amalan dan kelakuan yang soleh setelah melalui bulan Ramadhan al-Mubarak.
Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, pelbagai peristiwa dan pengajaran yang diperolehi, membuka pintu hati ini untuk terus melangkah ke jalan yang hakiki.


Daripada blog sebelumnya, saya bercadang untuk meneruskan episod yang seterusnya daripada tajuk "Diam dan Tutup Mulut".

Sebenarnya tajuk sebegini sukar untuk dirungkaikan kerana apabila kita menutup mulut dan sekadar senyum apabila berdepan dengan kemarahan ataupun suatu situasi yang mana seseorang yang ingin menegakkan pendapatnya walaupun hujahnya adalah terlalu lemah seolah-olah seperti menegakkan suatu benang yang basah. Adalah lebih baik jika kita berdiam diri kerana jika kita membuka mulut, seolah-olah seperti menuang minyak pada api yang tengah marak. Oleh itu, bagi mengembalikan suasana yang harmoni adalah disarankan supaya berdiam diri dan memberikan sebuah senyuman serta membenarkan kata-katanya, setelah suasana kembali tenang, selitkan nasihat pada hujah yang cuba disampaikan. Semoga pendapat yang bergantung pada akal dan nafsu dapat dipatahkan dengan ilmu dan iman...insya'Allah.


"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam" - HR Bukhari & Muslim.

Jika dilihat dari suatu sudut ilmu itu mengatakan bahawa setiap yang keluar dari badan manusia itu adalah najis kecuali beberapa perkara. Oleh yang demikian suatu percakapan yang sia-sia dan lagha adalah
tergolong dalam perkara najis tersebut. Justeru itu, hendaklah berkata sesuatu itu berdasarkan ilmu dan iman, maka barulah ia mendidik jiwa-jiwa yang lalai.

Kita pernah mendengar pepatah orang dahulu kala mengatakan; "Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa". Kerana mulut juga sebuah keluarga yang bahagia akan mengalami keberantakan, kerana mulut juga sebuah negara berperang, kerana mulut juga hubungan suami-isteri tidak elok. Oleh itu peliharalah mulut, jika mulut dilatih untuk berkata kebenaran maka kebenaranlah yang mendidik tuan empunya badan, jika mulut dilatih untuk berkata sesuatu yang dusta maka dustalah tuan empunya badan. Oleh itu dengan berdiam diri dan mengawal emosi serta kelakuan dan senyum adalah penawar bagi hati yang dilanda kemarahan.

Berdiam diri bukanlah bererti mengalah tetapi tindakan itu adalah lebih baik daripada bercakap kerana dengan mendiamkan diri kita dapat menenangkan fikiran serta dapat menyusun strategi yang penuh dengan hikmah. Ia juga dikatakan salah satu daripada adab untuk berkawan serta hubungan silaturrahim sesama insan. Jika bercakap suatu perkara ketika orang lain bercakap juga dikatakan kurang ajar serta tidak beradab.

Apabila kita kurang bercakap dan berdiam diri maka orang sekeliling akan hormat dan sedia untuk mendengar buah fikiran serta pandangan kita. Kekadang kita lupa bahawa hidup didunia ini adalah sementara, kita asyik dengan kata-kata kerana dengan kata-kata itu memperlihatkan sikap angkuh, sombong dan riaknya seseorang.
Apalah salahnya jika bercakap dengan suara yang rendah dan tawaduk, bukankah itu tuntutan agama?
Bercakap biarlah berisi, janganlah jadi seperti tin kosong, ketuk sahaja bunyinya kuat tetapi tiada gunanya kerana didalam tin itu kosong dan tiada manfaatnya.
Ada suatu keadaan dimana kita terdengar orang-orang berpengalaman berkata; "Cakap pun salah, tak cakap lagi lah salah", umpama luah mati bapak, telan mati mak.
Oleh itu untuk bercakap perlunya ilmu, perlunya kata-kata hikmah dan perlunya iman dan ketakwaan, supaya hubungan silaturrahim kembali terjalin dan harmoni.
Sesungguhnya kata-kata itu adalah doa, oleh itu berkata-katalah yang baik-baik supaya hidup lebih bermakna. Jauhilah kata-kata kesat dan kotor, caci-maki dan carut-mencarut, kerana itu hanyalah sia-sia dan merosakkan hati yang bersih.
Berkata-katalah bila perlu dan kurangkan bercakap sesuatu perkara yang tiada kaitan dengan kita kerana kata-kata daripada mulut itu menimbulkan umpat-mengumpat dan fitnah-menfinah. Maka bersuka ria lah syaitan kerana berjaya menipu daya anak adam.
Sekian dulu coretan yang serba sedikit dapat memberi pengajaran yang baik buat kita.
Wassalam.